SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan merujuk pihak berwajib berkenaan status Bon Odori yang dikaitkan dengan upacara keagamaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang nasihat dan pandangan berkaitan perkara itu dan menganggap ia acara kebudayaan.

Menurutnya, acara itu juga atas semangat dasar pandang ke timur selain merapatkan hubungan antara syarikat serta individu yang mempunyai kaitan dengan Jepun.

"Saya percaya hal ini sama seperti perayaan lain, contohnya Ponggal.

"Saya tidak pasti (Bon Odori) ada elemen keagamaan atau sebaliknya. Kita akan dapatkan maklumat terperinci pihak berkaitan dan jika benar (ada kaitan keagamaan) kita kena akur," katanya ditemui pada pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mengingatkan umat Islam untuk tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama Bon Odori yang bakal berlangsung di Shah Alam pada 17 Julai depan.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, maklumat sebenar berkenaan Bon Odori perlu disahkan termasuk maklum balas daripada Kedutaan Jepun kerana isu tersebut mula dibangkitkan melalui maklumat daripada Wikipedia beberapa hari lalu.

"Semua program ada aktiviti doa. Majlis hari raya pun baca doa... takkan itu dianggap upacara keagamaan?

"Sebab itu saya kena dapatkan pandangan sebenar adakah acara itu menjurus kepada keagamaan atau kebudayaan," katanya

Bagaimanapun Amirudin berkata, kerajaan negeri tiada halangan penganjuran Bon Odori diteruskan dan pihak berkuasa tempatan akan membantu dari segi kemudahan bagi melancarkan program itu.

Ia selaras dasar kerajaan negeri yang memberi ruang kepada kaum-kaum lain untuk menyambut agama lain seperti Thaipusam dan Deepavali.