Skip to main content

Malaysia

Kerajaan selaras kriteria ijazah kelas pertama IPTA dan IPTS, dibentang Mei ini - Zambry

SHAH ALAM, 23 Feb -- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah), berswafoto bersama mahasiswa dan mahasiswi sempena Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zambry (tengah), berswafoto bersama mahasiswa dan mahasiswi sempena Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, pada Isnin. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi menyeragamkan penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di semua institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujud standard penilaian yang sama antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), khususnya dalam konteks pemberian pengecualian bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama.

Advertisement

Beliau berkata, antara cabaran utama ketika ini ialah kekangan kewangan kerajaan memandangkan perbelanjaan tahunan bagi pengecualian tersebut melebihi RM300 juta.

“Kerajaan sebelum ini membuat keputusan di peringkat IPTA dahulu dan mungkin pada peringkat akan datang kita juga ingin mencadangkan sebagai permulaan di peringkat IPTN (negeri) dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebelum melihat pelaksanaannya di IPTS.

“Isu yang timbul ialah bagaimana kita mengukur pelajar yang mendapat kelas pertama di IPTS kerana di IPTA sudah ada sistem yang jelas. Kita tidak mahu ada persepsi bahawa di satu tempat mudah mendapat kelas pertama dan di tempat lain sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang dihadiri 1,000 kepimpinan pelajar daripada IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara. 

Zambry berkata, beliau telah meminta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk membuat penilaian menyeluruh bagi memastikan tiada diskriminasi terhadap pelajar IPTS, termasuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang hasil usaha sendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu garis panduan khusus bagi menyeragamkan definisi dan kriteria Ijazah Kelas Pertama di semua IPT.

“MQA akan menyelaras dan mengeluarkan satu garis panduan supaya semua kelas pertama yang ada dalam negara ini sama. Tidak ada lagi unsur menyatakan bahawa di satu tempat senang dapat kelas pertama, di tempat lain susah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan itu dijangka dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis MQA pada Mei ini sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk keputusan lanjut. 

Sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

-- BERNAMA

Must Watch Video