Kerajaan bersetuju untuk menghapuskan permit eksport yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi pengeksportan barangan terutama dalam industri makanan diproses dan florikultur, kata Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Keputusan memansuhkan prosedur yang tidak perlu bagi eksport 524 barang (524 Kod HS) yang pada masa ini tidak konsisten dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 telah dibuat semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri MuhyiddinYassin.

"Prosedur ini tidak diperlukan oleh negara pengimport dan perniagaan tidak perlu menanggung RM2.4 juta dan 60,000 jam setahun dalam menjalankan perniagaan mereka," kata Abdul Latif dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata memansuhkan peraturan yang tidak perlu yang membebankan perniagaan adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah program MalaysiaMudah atau #MyMudah.

Sejak inisiatif MyMudah dilancarkan pada 20 Julai lepas MPC menerima beberapa maklum balas daripada perniagaan dan antaranya adalah berhubung syarat tidak diperlukan untuk permit eksport.

MPC secara proaktif telah memudahkan dan memulakan perbincangan awal antara perniagaan yang terkesan dan pihak pengawal selia berkaitan untuk meneliti dan memberikan syor bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau juga menggesa semua perniagaan supaya terus mengetengahkan masalah peraturan yang dihadapi mereka melalui 'MalaysiaMudah (#MyMudah) - Reducing Unnecessary Regulatory Burdens to Support Economic Growth' yang tersedia secara dalam talian di portal Unified Public Consultation (UPC) (upc.mpc.gov.my).

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Dr. Ir Andy Seo Kian How, yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), berkata beliau gembira dengan keputusan yang dibuat mengenai penghapusan permit eksport itu.

Beliau berkata ini pastinya dapat meringankan beban perniagaan terutama dalam tempoh pandemik COVID-19.

"Melalui inisiatif #MyMudah, MPC dan PEMUDAH komited untuk mencari penyelesaian bagi memudahkan usaha menjalankan perniagaan di Malaysia dan menghapuskan halangan pertumbuhan perniagaan.

"Menerusi kerjasama erat dan konstruktif dengan kerajaan, kita dapat memberikan maklum balas mengenai peraturan tadbir urus ke atas menjalankan perniagaan di Malaysia yang dapat dipermudahkan, dimodenkan dan diperkemaskan," katanya.

-- BERNAMA