PUTRAJAYA: Pemberian bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) diteruskan untuk tempoh Januari hingga Disember 2024, kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu, dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan supaya bayaran PKKP dilaksanakan bagi tempoh Julai 2023 hingga Disember 2023 kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.

Perkara itu susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan itu terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

"Keputusan pemberian bantuan PKKP merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan pesara, selain menghargai sumbangan pesara semasa dalam perkhidmatan," kata beliau dalam kenyataan tersebut.

-- BERNAMA