PUTRAJAYA: Peruntukan subsidi ayam dan telur ditambah sebanyak RM370 juta pada Julai dan Ogos 2022, menjadikan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun 2022 kini berjumlah RM77.7 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menjadikan jumlah peruntukan disediakan kerajaan sepanjang dua bulan itu mencecah RM1 bilion.

Jelasnya, ia merangkumi RM370 juta subsidi telur dan ayam serta RM630 juta yang telah dibayar kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mulai 27 Jun 2022.

BACA: Kerajaan terus subsidi untuk stabil harga, elak inflasi tinggi

“Hakikatnya, kerajaan sentiasa meningkatkan bantuan dan subsidi kepada rakyat untuk membantu menangani cabaran kos sara hidup.

“Jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau ASEAN, harga ayam di Malaysia adalah antara yang terendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menerusi jadual dikongsikan dalam kenyataan media itu, harga ayam di Malaysia berada pada paras RM9.40 berbanding Thailand (RM11.65), Indonesia (RM12.44), Brunei (RM14.65), Singapura (RM24.25), Filipina (RM16.59) dan Vietnam (RM23.09).

[TERKINI] Harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya kerana Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global.

“Umum mengetahui bahawa kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mencecah 9 peratus, manakala Thailand adalah 7 peratus dan Singapura dan Filipina melebihi 5 peratus.

“Berdasarkan simulasi oleh Jabatan Perangkaan Negara, tanpa sebarang subsidi Kerajaan, kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei 2022 boleh mencecah sehingga 11.4 peratus, namun dasar subsidi telah membantu membendung inflasi di Malaysia pada tahap 2.8 peratus.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.