KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata suruhanjaya itu akan berperanan mengkaji undang-undang negara serta mengemukakan syor pembaharuan secara sistematik.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan reformasi undang-undang dilaksanakan secara berterusan, bebas dan berasaskan bukti.
“Reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ad hoc atau hanya digerakkan apabila timbul sesuatu krisis, tetapi perlu dilaksanakan secara terancang agar kerangka perundangan negara sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, pada Khamis.
Menurut Azalina, mekanisme tetap itu akan membolehkan kajian terhadap undang-undang negara dibuat secara lebih tersusun dan berterusan, selain menghasilkan cadangan pembaharuan berdasarkan keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan reformasi undang-undang bukan satu bentuk serangan terhadap mana-mana institusi atau profesion.
Sebaliknya, katanya, undang-undang yang jelas dapat memperincikan tanggungjawab, mengurangkan pertindihan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Ini pendekatan Kerajaan MADANI bagi mewujudkan undang-undang yang jelas, proses yang telus dan institusi yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Dalam perkara ini, politik tidak seharusnya menjadi pertimbangan. Kematian tidak mengenal warna politik dan kesedihan sebuah keluarga tidak mempunyai ideologi,” kata Azalina.
Beliau berkata, usaha memperkukuh reformasi perundangan perlu dilaksanakan secara terancang supaya kerangka undang-undang negara sentiasa mampu memenuhi tuntutan semasa masyarakat.
Katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang itu juga selari dengan pendekatan kerajaan untuk memastikan proses pembaharuan tidak hanya bergantung kepada sesuatu isu atau krisis yang mendapat perhatian awam.