Kerajaan teliti mekanisme terbaik kawal selia permainan video dalam talian - Fahmi

Fahmi (foto) berkata kementeriannya telah mengadakan mesyuarat bersama MCMC bagi membincangkan perkara itu, namun keputusan rasmi masih belum dapat diumumkan kerana ia masih di peringkat penelitian. -Gambar fail/Bernama
RAUB: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti mekanisme terbaik dan terpantas bagi mengawal selia permainan video dalam talian susulan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna, khususnya golongan kanak-kanak.
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi dan MCMC sedang teliti mekanisme kawal selia permainan video dalam talian susulan kebimbangan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.
- Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka berkuat kuasa awal tahun depan, dengan fokus kepada ekosistem digital selamat dan sistem verifikasi umur yang lebih berkesan.
- Fahmi Fadzil gesa ibu bapa pantau aktiviti anak, susulan insiden melibatkan Roblox dan aplikasi OMI, serta umum pertemuan dengan wakil platform untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.
Fahmi berkata kementerian juga sedang memantau dan meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.
"Kita sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik. Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh," katanya.
Beliau berkata kementeriannya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil permainan video dalam talian Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, oleh abangnya berusia sembilan tahun yang dipercayai terpengaruh dengan permainan video dalam talian itu.
"Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun, dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.
"Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah. Namun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya. Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka," katanya.
Fahmi berkata MCMC juga akan memanggil penyedia aplikasi OMI dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.
"Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. MCMC sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia," katanya.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan hanya untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti dilaksanakan dengan berkesan.
"Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun ia masih belum cukup meyakinkan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


