KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) berperingkat mulai 2027 bagi memastikan perlindungan bil elektrik lebih adil dan bersasar mengikut kategori pengguna.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penelitian itu dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Sasaran utama penelitian ini adalah untuk memberikan perlindungan kepada pengguna mengikut kategori, yang mana ia dilihat lebih adil dan bersasar bagi mendepani realiti ketidaktentuan harga bahan api pasaran global yang berpanjangan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah berkata peningkatan bil elektrik yang dialami sebahagian pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dipengaruhi beberapa faktor, termasuk lonjakan harga bahan api global susulan krisis geopolitik di Asia Barat dan gangguan keselamatan di Selat Hormuz.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan harga gas dan arang batu bagi suku kedua dan ketiga 2026 meningkat melebihi unjuran asas, sekali gus mendorong kenaikan kos penjanaan elektrik yang dicerminkan menerusi surcaj AFA dalam bil bulanan pengguna.
Selain itu, katanya, cuaca panas berpanjangan turut meningkatkan penggunaan peralatan elektrik berkapasiti tinggi, khususnya penyaman udara, manakala pengurangan penjanaan hidro dan henti tugas berjadual loji jana kuasa arang batu meningkatkan kebergantungan kepada gas asli cecair (LNG) import.
Sehubungan itu, bagi meringankan beban pengguna, Fadillah berkata kerajaan telah bersetuju memperluas had pengecualian penggunaan elektrik domestik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga Disember 2026.
Beliau berkata peluasan perlindungan itu turut merangkumi pengecualian daripada surcaj AFA, caj peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Peluasan ini akan memberi manfaat kepada sekitar 90 peratus atau bersamaan kira-kira lapan juta akaun pengguna domestik di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam isu berasingan berkaitan kadar air tidak berhasil (NRW), Fadillah berkata kerajaan memberi keutamaan kepada negeri yang mencatat NRW tinggi untuk menerima geran bagi melaksanakan kerja penggantian paip lama secara berfasa dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara.
Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan mengambil kira kekangan peruntukan kerajaan memandangkan kos penggantian keseluruhan paip lama di seluruh negara adalah terlalu tinggi.
Fadillah berkata kerajaan membahagikan mekanisme bantuan kepada dua kategori, iaitu pemberian geran kepada negeri yang mencatat NRW tinggi, manakala negeri yang telah mencapai tahap prestasi tertentu akan menerima geran padanan.
“Untuk NRW, penggantian paip, memang kalau nak menggantikan seluruh paip lama di Malaysia ini, belanjanya begitu besar. Sebab itu kita membuat secara berfasa sebab kita menyedari juga bahawa peruntukan memang terhad….kalau dia (kerajaan negeri) belanja dan dapat menjimatkan, maka kita akan bagi dia matching grant (geran padanan),” katanya.
-- BERNAMA