KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan syarat baharu bagi membolehkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) terus beroperasi di negara ini.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, perkara itu diputuskan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) selepas membuat pertimbangan untuk mengemas kini syarat lesen operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa.

Menurutnya, langkah itu meliputi kebenaran mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) sehingga tamat tempoh sah lesen iaitu pada Mac 2026.

“Pertimbangan ini juga membenarkan aktiviti Cracking & Leaching (C&L) diteruskan tertakluk kepada syarat bahawa Lynas iaitu hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan.

"Keputusan LPTA dibuat berdasarkan dapatan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta 304," katanya pada sidang akhbar di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di sini pada Selasa.

Jelas Lih Kang, MOSTI yakin dengan perkembangan ini, operasi berkaitan menepati kawalan perundangan, melindungi kepentingan rakyat dan seterusnya negara akan mampu menarik pelaburan yang berbilion ringgit nilainya dalam industri nadir bumi tempatan bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi.

Sebelum ini, rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan AELB ditolak.
Selepas pertimbangan dibuat, kerajaan memutuskan untuk menolak rayuan Lynas itu selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan AELB itu.

Lih Kang berkata, antara syarat yang dikenakan ialah pihaknya tidak membenarkan pengumpulan sisa radio aktif dilakukan secara berterusan di negara ini.

"Kedua kita perlu ada penyelesaian sisa yang sudah pun dihasilkan selama ini yang mencecah 1 juta tan metrik.

"Selepas rayuan Lynas untuk gugurkan empat syarat lesen itu ditolak pada bulan Mei, kami didatangi dengan proposal baharu iaitu ekstrak torium,” katanya.

Tambah beliau, MOSTI menerusi AELB mengambil masa beberapa bulan untuk mengesahkan sama ada proposal berkenaan boleh dijalankan atau tidak.

“Hasilnya semalam AELB buat keputusan kaedah esktrak torium boleh dilaksanakan.

"Ini selaras dengan keputusan AELB sebelum ini tidak membenarkan pengumpulan radio aktif secara berterusan dan mereka (Lynas) perlu menyelesaikan isu radioaktif yang wujud sejak pengoperasian," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian