VIRGINIA: Lima individu cedera, seorang daripadanya dalam keadaan kritikal, dalam satu insiden tembakan di Universiti Negeri Virginia (VSU) pada awal pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa.
Universiti itu memaklumkan polis menerima laporan mengenai kejadian berhampiran asrama pelajar kira-kira jam 1.28 pagi waktu tempatan sebelum menemukan lima mangsa yang mengalami kecederaan akibat tembakan.
Kesemua mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Empat daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Polis Daerah Chesterfield berkata siasatan awal mendapati lebih daripada seorang suspek dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Menurut pihak berkuasa, seorang daripada mangsa ialah pelajar VSU manakala seorang lagi berusia bawah 18 tahun. Pelajar terbabit dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Perintah sekatan sementara di kampus yang dikuatkuasakan susulan kejadian itu telah ditarik balik, namun kehadiran anggota penguat kuasa masih dipertingkatkan bagi membantu siasatan.
Pihak universiti memaklumkan polis Daerah Chesterfield mengetuai siasatan dengan bantuan polis kampus dan agensi penguat kuasa tempatan yang lain.
VSU, yang mempunyai kira-kira 5,000 pelajar dan terletak di selatan Richmond, dijadual memulakan sesi akademik baharu pada Isnin, manakala asrama pelajar dibuka semula pada Jumaat lalu.