Skip to main content

Dunia

Hawaii bersedia hadapi kemungkinan dilanda taufan pertama dalam 34 tahun

Shaheer Faltas, left, and his father-in-law, Joe Brosnan, fill sandbags in preparation for the arrival of Tropical Storm Lala in Captain Cook, Hawaii, Friday, Aug. 14, 2026. (Stephen Lam/San Francisco Chronicle via AP)
Penduduk mengisi beg pasir sebagai persiapan menghadapi ketibaan Ribut Tropika Lala di Captain Cook, Hawaii. - Foto AP
Advertisement

HONOLULU: Penduduk Hawaii diarahkan bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca berbahaya apabila Taufan Lala menghampiri kepulauan itu, yang berpotensi menjadi taufan pertama melanda secara langsung negeri berkenaan sejak 1992.

Taufan kategori satu itu membawa angin selaju kira-kira 120 kilometer sejam (km/j) dan dijangka sama ada mendarat atau melalui kawasan selatan Pulau Besar (Big Island) pada Sabtu sebelum bergerak ke arah barat.

Amaran taufan telah dikeluarkan untuk Big Island, manakala daerah Maui, Oahu, Kauai dan Niihau berada di bawah amaran ribut tropika.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko banjir kilat, tanah runtuh, ombak besar dan angin kencang yang boleh mengancam nyawa, selain menjangkakan sehingga 63 sentimeter hujan di beberapa kawasan.

Gabenor Hawaii, Josh Green, berkata negeri itu perlu bersedia menghadapi jumlah hujan yang sangat tinggi sepanjang hujung minggu.

Beliau turut mengingatkan bahawa angin kencang, hujan lebat, banjir kilat dan ombak berbahaya boleh menjejaskan sebahagian besar kawasan di negeri berkenaan.

Susulan ancaman taufan itu, puluhan penerbangan dibatalkan dengan kira-kira 40 peratus operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ellison Onizuka Kona digantung, manakala hampir 80 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hilo dibatalkan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran bahawa hujan lebat boleh menyebabkan sungai melimpah dengan pantas serta memaksa pemindahan penduduk dan operasi menyelamat dijalankan di beberapa kawasan.

Kali terakhir Hawaii dilanda taufan ialah pada 1992 apabila Taufan Iniki, yang berkategori empat, membadai pulau Kauai, mengorbankan enam orang dan menyebabkan kerugian dianggarkan AS$3 bilion.

 

 

Must Watch Video

Advertisement