MUAR: Kerajaan akan menyegerakan agihan bantuan wang ihsan kepada penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara ketika ini.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya juga menggesa semua pihak terlibat termasuk agensi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tidak bertangguh dalam menyalurkan bantuan berkenaan.
 
Beliau berkata, berdasarkan dasar mekanisme pengurusan dan Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang ditetapkan, peruntukan wang ihsan yang disediakan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) akan disalurkan kepada negeri dan daerah dalam tempoh seminggu selepas mendapat maklumat lengkap mangsa banjir.
 

Bagaimanapun katanya, penyaluran bantuan kepada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak memerlukan semakan yang lama berbanding mereka yang tidak berpindah, kerana perlu melalui beberapa proses semakan bagi mengelakkan pertindihan.
 
"Itu SOP ditetapkan sebaik kita terima maklumat yang disahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan daerah, Nadma akan salur bantuan serta merta kerana kita faham bahawa yang melaksanakan operasi dan mengetahui keadaan akar umbi adalah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri daerah.

"Berdasarkan dasar mekanisme, pengurusan kita di Nadma tidak akan bertangguh dari aspek tersebut dan itulah juga komitmen kepimpinan kerajaan kita iaitu PM dan TPM selaku Pengerusi Bencana Pusat,
bantuan perlu disalurkan segera dan harap peringkat neegri dan daerah laksanakan SOP tertentu," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Pengurusan Bencana banjir daerah Muar di Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Muar (pkob) pada Sabtu.
 
Beliau terdahulu turut meninjau operasi PPS di Dewan Serbaguna Pagoh.
 
Semalam, kerajaan mengumumkan bantuan segera sebanyak RM50 juta kepada negeri Johor yang merupakan negeri paling teruk terjejas dilanda banjir.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja baik pulih infrastruktur yang rosak dan bantuan-bantuan lain kepada penduduk terlibat.

Dalam pada itu Armizan berkata, selain koordinasi penugasan, kerajaan memberi penekanan kepada tiga aspek dalam berdepan bencana banjir ketika ini.
 
Ianya merangkumi pengurusan risiko banjir, proses pengurusan bencana dan proses pasca bencana.
 
Nadma juga telah diarahkan supaya memastikan kesemua PKOB di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.