KUALA LUMPUR: Bekalan vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu diutamakan berbanding pembelian oleh pihak swasta atau individu lain.

Dalam masa sama, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin menafikan, kerajaan mengawal semua pembelian vaksin seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak mengawal semua (pembelian vaksin), kita bagi keutamaan pembelian kepada PICK dan segala perolehan kerajaan Persekutuan mestilah didahulukan.

“Selepas itu sesiapa yang ingin membeli mana-mana vaksin dan telah menerima kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah bebas melaksanakannya.

“Sebahagian besar negara di dunia mengutamakan program imunisasi kebangsaan mereka malah di mana-mana negara maju sekalipun,” katanya melalui akaun Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan dilontarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerajaan mengawal pembelian vaksin daripada pihak lain di dalam negara.

Justeru itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keutamaan diberikan kepada PICK susulan fasa kedua yang sedang berlangsung melibatkan golongan warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam perkembangan yang sama, Khairy turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkaitan monopoli pembelian vaksin oleh syarikat Pharmaniaga.

Jelasnya, syarikat berkenaan hanya mengendalikan pembelian vaksin Sinovac setakat ini.

“Tuduhan Datuk Seri Anwar bahawa pembelian dibuat oleh syarikat Pharmaniaga termasuk vaksin Pfizer, Sinovac, Astrazeneca adalah tidak benar sama sekali.

“Pembelian vaksin Pfizer dibuat oleh syarikat Pfizer Malaysia, Astrazeneca dibuat melalui dua kaedah iaitu kemudahan pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX) dikendalikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kedua melalui Astrazeneca Malaysia.

“Pharmaniaga hanya mengendalikan pembelian melalui syarikat Sinovac dan tuduhan ia mengendalikan semuanya adalah tidak betul,” jelas beliau.

Tambah Khairy, perkara berkenaan telah dijelaskan termasuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai oleh wakil daripada semua parti politik.