SHAH ALAM : Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin mendakwa kerajaan tidak membenarkan beliau pulang ke tanah air kerana akan mengancam keamanan negara.

Menerusi sebuah video berdurasi empat minit 15 saat, beliau menjelaskan, banyak rundingan telah berlangsung sejak 2013 untuk membolehkannya pulang ke Malaysia termasuk bersama pemimpin negara serta pihak berkuasa.

"Yang sebenarnya saya berusaha balik (Malaysia) banyak kali. Saya jumpa Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) semasa Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menjadi Perdana Menteri. Saya berunding dengan orang rapat Najib dan dua menteri Kabinet (termasuk) Bukit Aman (Polis Diraja Malaysia) banyak kali.

"Saya telah balik ke Malaysia (secara) simboliknya, saya pergi ke kedutaan Malaysia di Bangkok (Thailand), Jakarta (Indonesia), Singapura dan London (United Kingdom) banyak kali. Mereka tidak tangkap, kalau nak dikira, saya boleh ditangkap tetapi tiada kes mengaitkan saya.

"Ramai yang kata saya pelarian, tidak. Apa sahaja tuduhan (mengaitkan) Rosmah (dan) Najib, semua kes sudah digugurkan dan ditarik balik. Sebab itu saya bebas masuk ke kedutaan Malaysia di banyak negara, tiada waran tangkap terhadap saya," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter, pada Selasa.

Dalam pada itu Raja Petra mendakwa, Ahmad Zahid turut membantu beliau untuk membaharui pasport walaupun tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

"Pasport dibaharui, saya minta bantuan Zahid Hamidi dan beliau menghubungi Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) dan Imigresen menghubungi kedutaan Malaysia. Mereka akan hantar pegawai ke rumah saya untuk membaharui pasport.

"Ini atas arahan Timbalan Perdana Menteri, tetapi mereka tidak mahu saya balik ke Malaysia kerana takut saya akan buat 'roadshow' di serata Malaysia. Kalau saya ceramah, saya boleh tarik 30,000 orang.

"Kalau musim pilihan raya, boleh sampai 50,000 orang. Mereka takut saya akan menjadi bahaya kepada kerajaan, itu alasan yang diberi. Mereka mahu saya duduk di London, biar saya menulis atau buat video asalkan tidak turun padang, ceramah di merata tempat (mengakibatkan) kerajaan menghadapi masalah," jelasnya.

Pada 2009 media melaporkan, Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah melalui laman webnya.

Beliau kini menetap di sebuah kediaman sewa di kota London.