KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana individu bergelar ‘Tun’ dan ahli keluarga termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam masa sama, tegas jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan peribadi untuk siasatan dilakukan.

“Semua siasatan berlandaskan undang-undang dan semua ini bukan politik dendam,” katanya.

Sekalipun tidak pernah mencampuri urusan SPRM, namun, kerajaan, tegas Fahmi, berhak meneliti perkara yang melibatkan wang rakyat.

“PM juga sudah banyak kali cakap nothing personal about it. Jika ada sebarang perkara yang melibatkan harta wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti perkara itu,” tambah Menteri Komunikasi itu lagi.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas dakwaan Dr Mahathir yang menyifatkan siasatan SPRM yang dijalankan ke atas keluarganya bermotifkan dendam politik.

Dalam sidang media semalam, Dr Mahathir mendakwa, tujuan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu turut mempertikaikan tindakan SPRM yang meminta Mirzan mengisytiharkan aset sejak 42 tahun lalu jika mahu mengelak dikenakan hukuman penjara.

Selain kes Mirzan, SPRM juga dalam masa turut mengheret isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na'imah, 66, isteri bekas Menteri Kewangan dan tokoh korporat itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, hari ini.