Penasihat syarikat pengendali teksi di Suria KLCC, Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail diingatkan agar tidak mengugut kerajaan dalam isu e-Hailing Grabcar atau Uber yang ditimbulkannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan juga tidak takut dengan ugutan Shamsubahrin bahawa pemandu teksi akan memberi undi mereka kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

"Saya minta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri untuk berjumpa mereka bagi menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlu ugut. Kita tidak takut dengan sebarang ugutan," katanya semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Sebelum ini, Shamsubahrin mempertikai layanan kerajaan kepada pemandu Grabcar dan Uber yang dikatakan diberi keistimewaan terutama dalam isu e-Hailing berbanding pemandu teksi biasa.

BACA: Sistem e-Hailing bakal musnah industri teksi di Malaysia - Shamsubahrin

Perkhidmatan e-Hailing iaitu aktiviti tempahan perkhidmatan teksi dalam talian melalui aplikasi pintar atau mudah alih.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Masing sebelum ini mahu pengendali teksi di bandar itu bertanya kepada mereka sendiri kenapa lebih ramai pengguna memilih perkhidmatan e-Hailing.

Masing berkata pengendali teksi perlu sedar bahawa orang lebih suka menggunakan perkhidmatan e-Hailing kerana ia lebih menjimatkan.

Pada tahun lepas, Malaysia mencatatkan sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan e-Hailing seperti Grabcar dan Uber sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan e-Hailing itu menjadi kenyataan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat.