AYER KEROH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan Kanun Jenayah Syariah Kelantan hari ini adalah berdasarkan kuasa yang ada pada mereka di bawah Perlembagaan Negara.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung seperti didakwa oleh pembangkang yang sengaja cuba mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen agama.

“Apa yang berlaku di luar mahkamah, (wujud) kempen mengatakan keputusan ini menentang syariah padahal saya sudah terangkan di Parlimen dan dalam keputusan Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) cukup jelas ia tidak ada kena mengena dengan syariah, ia tentang kuasa negeri.

“Katalah (persidangan) Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan, ketua menteri buat beberapa undang-undang baharu yang bercanggah dengan kuasa negeri dan Perlembagaan Persekutuan, maka boleh dirujuk dan Mahkamah Persekutuan akan dapati (nilai), sekiranya bercanggah akan membatalkan, ia tidak kira apa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), di sini, pada Jumaat.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang itu.

Antaranya, Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia), dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak tindakan pembangkang yang memainkan isu berkenaan sedangkan ia telah mula dibangkitkan ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) beberapa tahun lalu.

“Negeri ada bidang kuasa masing-masing, apakah tidak diketahui oleh pemimpin-pemimpin pembangkang?

"Dia tahu tapi nak gunakan sentimen supaya orang Islam berasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang syariah, padahal tidak ada kena-mengena.

“Apa yang dilakukan kerajaan (PN) terdahulu, dia tak bantah. Ini berlaku semasa mereka (memerintah) tahun 2020 dan 2021 tidak dibantah, sekarang dibantah dijadikan bahan politik,” tambahnya.