SHAH ALAM: Sindiket menawarkan upah lumayan termasuk tiket penerbangan dan penginapan percuma dipercayai untuk memperdaya individu membawa bahan narkotik melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati ada dalam kalangan 'keldai dadah' terpengaruh dengan tawaran bayaran mencecah ribuan ringgit selain kemudahan perjalanan ditaja sepenuhnya.
Advertisement
“Kebanyakan individu yang direkrut tidak mempunyai pengalaman jenayah, ini merupakan antara ‘first job’ mereka. Mereka terpengaruh dan tertipu dengan janji mudah memperoleh wang lumayan.
"Ada yang ditawarkan bayaran tidak kurang RM5,000 selain tiket penerbangan dan penginapan disediakan,” katanya ketika Sidang Media Ketua Polis Selangor, di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Polis Selangor bersama Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dalam operasi antara 30 Mac hingga 8 April lalu.
Operasi itu membawa kepada penahanan empat suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun serta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan bunga ganja.
Bagi kes pertama, seorang wanita tempatan ditahan bersama 12 bungkusan syabu seberat 12.5 kilogram bernilai RM625,000 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
Kes kedua pula melibatkan rampasan 45 kilogram bunga ganja di dalam tiga bagasi dengan nilai keseluruhan RM3.6 juta, dipercayai untuk diedarkan ke pasaran luar negara di Eropah.
Tiga lelaki tempatan kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes ketiga, pihak polis merampas 24.5 kilogram syabu bernilai RM1.225 juta hasil imbasan bagasi di KLIA, namun pemilik bagasi terbabit melarikan diri dan kini diburu.
"Suspek wanita berkenaan melarikan diri selepas dipanggil untuk tujuan pemadanan bagasi dan tidak menaiki penerbangan, dengan dadah dipercayai untuk diedar ke pasaran Sabah.
"Polis giat mengesan wanita itu, Syazwani Farhana Dron yang berasal dari Sarawak," tambah Shazeli.
Secara keseluruhan, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 273,000 pengguna.
Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.