Kerajaan tumpu pembangunan subsektor industri, pacu ekonomi Pahang - PM Anwar

Wan Rosdy membacakan teks ucapan Anwar pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di ILP Kuantan, hari ini. - Gambar Bernama
KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan tumpuan strategik kepada pembangunan subsektor industri di Pahang antaranya industri kimia dan petrokimia, automotif, industri berat dan sederhana serta pembuatan makanan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata fokus terhadap industri berkenaan akan dilaksanakan melalui pelbagai pelan induk dan inisiatif yang telah serta akan dilancarkan.
"Bagi subsektor kimia dan petrokimia contohnya, Pelan Induk Industri Kimia 2030 (CIR2030) meletakkan aspirasi untuk memacu pembangunan sektor kimia dan produk kimia ke arah ekosistem industri yang berdaya saing, berteknologi tinggi dan mampan," kata beliau dalam ucapan perasmian Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Industri Kuantan di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan di sini hari ini.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi serta barisan pimpinan kerajaan negeri.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor kimia dan produk kimia merupakan satu daripada lima produk utama dengan jumlah nilai perdagangan tertinggi dalam sektor barangan pembuatan, mewakili 12.15 peratus daripada jumlah perdagangan negara setakat Jun lepas.
Beliau berkata setakat September lepas, Pahang telah merekodkan pelaburan berjumlah RM17.43 bilion, melebihi sasaran tahun ini iaitu RM14.09 bilion serta mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan.
Mengenai isu bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan penyelesaian jangka panjang menerusi pembinaan loji rawatan air masin di Pantai Gebeng dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Projek ini mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
"Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan persekitaran perniagaan di Gebeng kekal kompetitif tanpa gangguan logistik dan utiliti asas," kata beliau dan menambah kawasan berkenaan merupakan lokasi strategik kerana kedudukannya yang bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Gebeng Industrial Support Group (GISG) yang dianggotai pekerja atas peranan aktifnya sebagai penghubung penting antara komuniti industri Gebeng dan agensi kerajaan.
"Kerjasama erat antara kerajaan dengan pihak industri, syarikat dan pekerja inilah yang memastikan isu-isu setempat terutamanya yang berkaitan dengan infrastruktur, utiliti dan operasi logistik dapat ditangani segera, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan harmoni," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


