KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertimbang pelaksanaan cukai sementara ke atas sektor tertentu yang sedang menikmati keuntungan luar biasa bagi meningkatkan pendapatan negara tanpa terlalu membebankan rakyat.
Provost dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sektor seperti perlombongan dan perladangan sawit boleh dicukai bagi membantu kerajaan menambah hasil negara ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
"Hakikatnya kita tidak mahu membazirkan wang kerajaan dalam bentuk subsidi, oleh itu lebih banyak penjimatan mampu diperoleh dengan mengawal ketirisan ini," kata Barjoyai dalam program Buletin Awani Khas, di sini, pada Rabu.
Tambah Barjoyai, sistem percukaian juga perlu diperluas kepada golongan dan aktiviti ekonomi yang memperoleh keuntungan tinggi, namun belum berada dalam jaringan cukai negara.
"Pada waktu ini, pasaran saham melonjak dan ramai pemain individu mendapat keuntungan tetapi mereka tidak perlu membayar cukai. Dividen besar di Malaysia juga kebanyakan tidak dicukai.
"Ada kumpulan dalam masyarakat yang hanya memegang saham, tidak bekerja, tetapi setiap tahun mendapat dividen lumayan, mereka ini tidak pernah bayar cukai.
"Seterusnya peniaga menggunakan platform e-dagang seperti Temu, Shopee dan lain-lain mendapat keuntungan besar tetapi kebanyakan mereka tidak dicukai. Jadi mereka ini juga perlu menyumbang kepada negara," jelas Barjoyai.
Mengulas pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Barjoyai berkata golongan paling terkesan bukan kumpulan berpendapatan tinggi (T20) atau rendah (B40), sebaliknya kumpulan pertengahan M40 yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup.
"Kebanyakan kumpulan B40 menggunakan motosikal dan purata penggunaan petrol mereka sekitar 80 liter sebulan. Jadi kalau diturunkan had subsidi, mereka masih boleh bertahan.
"Namun, kumpulan M40 akan paling terkesan kerana mereka hilang subsidi, pada masa sama kos sara hidup juga meningkat mendadak.
"Peniaga akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, akhirnya impak rantaian ekonomi dirasai seluruh rakyat Malaysia termasuk kumpulan B40,” katanya.