JOHOR BAHRU: Kerajaan berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura dan yakin sistem pengangkutan itu akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kedua-dua negara komited untuk menjayakan projek kerjasama yang bernilai berbilion ringgit itu dengan perbincangan antara kedua-dua pihak turut diadakan secara berkala.

"Kita amat yakin bahawa pelaksanaan projek ini berjalan dengan lancar dan kita yakin bahawa operasi RTS Link ini akan bermula pada 1 Jan 2027.

"Kemajuan projek mengikut jadual, kita komited jayakannya dan tahniah kepada pasukan Malaysia dan Singapura kerana kerjasama bersungguh-sungguh dan ini telah menghasilkan semua projek berjalan ikut jadual," katanya.

Loke berkata demikian pada sidang media bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Malaysia dan Singapura bagi Projek RTS Link di titik pertemuan jejambat marin projek itu di sini hari ini.

Sementara itu Loke berkata pembinaan jejambat marin RTS Link antara Johor Bahru-Singapura sudah 68 peratus siap.

"Pembinaan jejambat darat, yang telah dianugerahkan pada 22 Mac 2023, kini juga sedang giat dijalankan dan kemajuannya ialah 31 peratus.

"Stesen itu juga 41 peratus siap manakala pembinaan bangunan Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, dan Kuarantin) yang baru sahaja dianugerahkan pada 11 Okt 2023, telah siap kerja-kerja cerucuk dan kemajuan struktur atasnya ialah 3.22 peratus," katanya.

Mengenai tambang RTS Link, Loke berkata ia akan diputuskan dan ditentukan apabila tarikh projek hampir siap, dan diumumkan sebelum bermulanya operasi.

"Tambang akan kompetitif, dan sesuatu yang menarik untuk memastikan pengembara dari kedua-dua negara menikmati perjalanan yang lancar kerana ia akan mengurangkan masa perjalanan selain urusan imigresen kedua-dua pihak akan dilakukan di satu stesen. Itulah kemudahan utama RTS Link, " katanya.

Menurut Loke, kerajaan juga terbuka menerima sebarang cadangan untuk menambah baik perhubungan antara Malaysia dan Singapura termasuk perkhidmatan feri.

"Itu sesuatu perkara yang kita perlu bincang lebih lanjut kerana ia melibatkan banyak perkara lain seperti infrastruktur, kemudahan dan kompleks CIQ. Tetapi apa sahaja cadangan yang dimajukan oleh pihak swasta akan dipertimbangkan," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, RTS Link akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

-- BERNAMA