BUTTERWORTH: Simpati terhadap kucing terbiar menyebabkan seorang lelaki sanggup menyediakan 'asrama' bagi menempatkan kucing yang dibuang pemiliknya atau yang ditemui di jalanan.

Mohd Shukri Mohd Radzi, 33, membuat kerja sukarela itu sejak 10 tahun lalu kerana gemar dengan haiwan berkenaan sejak kecil.

Selain kucing terbiar, dia turut membawa pulang kucing yang sakit untuk dirawat dan ditempatkan di 'asrama' yang disediakan dekat Pantai Bersih di sini.

“Tidak hanya yang saya ambil di jalanan (bahkan) ada juga (kucing) yang sakit saya akan jaga (beri rawatan). Ada juga yang menghantar kucing untuk dijaga di sini… ada jiran-jiran yang tahu di sini ada menjaga kucing, (mereka) meletakkan kucing di sini untuk jagaan,” katanya.



Ketika ini terdapat 30 ekor kucing yang ditempatkan di 'asrama'  yang diasaskan oleh Mohd Shukri dan kebanyakan kucing di situ dipungutnya di pasar atau tepi jalan.

Dalam beberapa kes, kata Mohd Shukri, terdapat pemilik kucing yang meletakkan haiwan peliharaan mereka itu di depan asrama beserta nota memintanya menjaga haiwan itu selepas mendapat tahu dia menjaga kucing secara sukarela.

Berikutan minat dan kecintaan pada haiwan berkenaan, Mohd Shukri berkata, dia mengeluarkan modal sendiri hasil jualan makanan ikan laga untuk membeli makanan serta pasir untuk kucing.

“Cara penjagaan (kucing) mudah, tidak susah sangat. Cuma bila sakit tu agak teruk sikitlah daripada segi kos rawatan. Daripada penjagaan makanan Alhamdulillah… semua guna duit poket sendiri untuk beli makanan, pasir,” katanya.

Setiap bulan, Mohd Shukri, perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,400 bagi membiayai kos pembelian makanan dan pasir kucing.

Jumlah berkenaan juga, jelasnya, tidak termasuk kos perubatan dan rawatan.

Di samping memungut kucing terbiar, Mohd Shukri turut mengalu-alukan mereka yang mahu mengambil kucing jagaannya sebagai 'anak angkat'.

Dalam masa sama, dia turut menyarankan pemilik kucing agar memandulkan haiwan peliharaan mereka bagi mengurangkan populasi kucing terbiar di jalanan.