KUANTAN: Orang ramai diminta berhati-hati sekiranya menerima tawaran kerja sambilan melalui media sosial berikutan ada pihak yang didakwa mengambil kesempatan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi menawarkan komisen tinggi melalui tugasan yang diberikan sekali gus menjerat mangsa sehingga kerugian ribuan ringgit.

Menurutnya, dalam kes terbaharu, seorang wanita berusia 22 tahun yang merupakan kerani di sebuah kedai motosikal di Temerloh menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud sehingga mengalami kerugian sebanyak RM26,384.

"Mangsa dikatakan berminat dengan tawaran kerja itu selepas menghubungi seorang wanita dikenali Jeny dan berjaya menyiapkan tugasan pertama serta memperolehi keuntungan RM9 daripada modal pembelian perabot sebanyak RM90.

"Mangsa telah membuat lima transaksi sebanyak RM26,348 ke dalam akaun bank berbeza yang diberikan suspek kerana teruja untuk mendapatkan komisen lebih," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima pulangan wang dan komisen yang dijanjikan.

Jelasnya, susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

"Sehubungan itu, usaha mengesan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.