JASIN: Seorang kerani wanita "berputih mata" apabila menanggung kerugian sebanyak RM585,700 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pelaburan rendah dengan keuntungan besar menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata kerani bank berusia 52 tahun itu pada mulanya dihubungi oleh seorang suspek wanita pada 5 Okt lepas yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai perunding agensi pelaburan.

"Suspek telah menerangkan kepada mangsa mengenai skim dan pelan pelaburan selama tiga hingga enam jam yang mampu memperolehi keuntungan sebanyak RM15,467 dengan pelaburan serendah RM300.

Suspek juga telah menarik minat mangsa dengan memberitahu bahawa pelaburan ini tiada caj broker, tiada caj tersembunyi, pemindahan pulangan dengan segera dengan kos pelaburan rendah dan membawa pulangan keuntungan besar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Jamil berkata mangsa kemudiannya bersetuju untuk melabur dan membuat satu transaksi berjumlah RM300 ke dalam akaun bank atas nama seorang lelaki bagi memulakan pelaburan itu.

Beliau berkata mangsa juga membuat 64 transaksi ke dalam 31 pemilik akaun berjumlah RM585,400 dengan pelbagai tujuan bagi pelaburan itu.

"Namun sehinggalah pada 27 Okt lepas, mangsa diberitahu kononnya dia diminta pihak syarikat telekomunikasi membuat bayaran pendahuluan bagi menyelesaikan bil telefon untuk pelaburan itu sebanyak RM10,000 dan berasa tertipu untuk membayar bil tersebut.

Mangsa kemudiannya membuat laporan pada 7 Nov lepas kira-kira pukul 11.40 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan memberitahu sumber kewangan untuk pelaburan itu daripada wang simpanan selain barang kemas yang dijual dan digadai untuk pelaburan tidak wujud itu," katanya.

-- BERNAMA