Hanya kerana sering buang air kecil di dalam bilik, seorang pesakit mental maut dipukul rakan sebiliknya yang berang dengan tindakannya itu.

Dalam kejadian di sebuah pusat jagaan pesakit mental di Tambun, di sini pada Isnin, mangsa berusia 57 tahun itu disahkan maut dengan ada kesan lebam di mata, bawah mata dan leher.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian sekitar jam 8 pagi itu disedari salah seorang pesakit lain yang kemudiannya memaklumkan insiden itu kepada penjaga pusat jagaan berkenaan.

“Penjaga itu kemudian memberitahu kepada rakan penjaga yang lain dan kemudiannya telah memanggil pihak hospital dan membawa mangsa ke hospital.

“Sampai di hospital kemudiannya Pembantu Perubatan mengesahkan dia telah meninggal dunia.

“Didapati ada kesan-kesan lebam pada mata, bawah mata dan juga pada lehernya akibat dipukul menggunakan tangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Tambanya, pusat jagaan itu mempunyai 50 penghuni termasuk tiga wanita dan mangsa yang dikatakan terbatas pergerakannya kerana rabun.

Polis menahan seorang suspek berumur 53 tahun dan akan mendapatkan bantuan pihak psikiatri sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertakluk kepada laporan bedah siasat.