TENOM: Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta api Tenom-Pangi yang membawa beberapa penumpang hilang kawalan akibat masalah brek sebelum melanggar motosikal troli penduduk yang berada di landasan dalam kejadian di Batu 11, Pangi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tenom Supt Azmir Abd Razak berkata makluman awal mendapati kereta api itu telah melanggar empat buah motosikal troli penduduk yang berada di landasan berkenaan dalam kejadian 8 pagi tadi.
Advertisement
Beliau berkata banjir dan tanah runtuh di pertengahan laluan landasan kereta api Tenom-Pangi menyebabkan perkhidmatan pengangkutan hanya setakat Batu 11 dan penduduk yang jauh terpaksa mencari alternatif sama ada menaiki motosikal troli atau berjalan kaki.
"Malangnya disebabkan kegagalan brek yang telah dikesan lebih awal sebelum sampai tempat kejadian, kereta api yang membawa beberapa penumpang telah terbabas dan melanggar empat buah motosikal menyebabkan seorang lelaki cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Azmir berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kereta api dalam keadaan sempurna sebelum beroperasi.
"Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan motosikal troli di landasan yang sama perkhidmatan kereta api walaupun kita tahu mereka tiada pilihan disebabkan tiada jalan perhubungan selain laluan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah diminta mengadakan siasatan penuh perkara ini dan mengambil langkah segera agar peristiwa ini tidak berulang.
Dalam hantaran di Facebook semalam, beliau berkata kereta api berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom.
"Saya juga memohon pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom-Pangi yang telah pun diluluskan oleh Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) awal 2025 dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik," katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 30 saat di media sosial memperlihatkan beberapa penumpang dalam kereta api berkenaan berada dalam keadaan cemas apabila kereta api itu bergerak dengan laju.
-- BERNAMA