SLIM RIVER: Dua lelaki nyaris maut apabila kereta jenis Toyota Yaris yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki gas petroleum cecair (LPG), di Kilometer 372.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini pada Selasa malam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, akibat kemalangan itu kedua-dua mangsa cedera tersepit dalam kereta.

Katanya lagi pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Yaris telah melanggar belakang sebuah lori tangki LPG (UN 1075).

"Bagaimanapun tiada kebocoran dilaporkan berlaku pada lori itu. Terdapat dua mangsa lelaki tersepit di kereta manakala pemandu lori selamat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Kemudiannya membuat rawatan awal dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans bagi tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Yussli Abdul Latiff itu tamat pada jam 10.15 malam.