Ramai yang keliru dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang akan diperkenalkan oleh kerajaan - kereta terbang atau dron?

Sebetulnya, inisiatif itu mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, biar apa sahaja panggilannya, dron atau kereta terbang adalah kefahaman masyarakat yang memberi maksud mobiliti udara yang sama.

Paling utama, kata beliau, itu merupakan usaha kerajaan untuk membangunkan industri penerbangan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Panggil apa saja kamu suka, dron, kereta terbang, ia adalah mengenai mobiliti udara.

“Yang pentingnya, kalau kita baca Dasar Keusahawanan Nasional, antara teras strategik kita adalah untuk membangunkan industri penerbangan, aeroangkasa dan mobiliti udara.

“Masyarakat seluruh dunia tidak gelarkan dron... dron ni adalah flying dummy (replika terbang).

“Kita kerajaan sudah mulakan satu program untuk melatih anak muda untuk mendekatkan diri dengan latihan penggunaan dron,” katanya ketika menjawan soalan tambahan Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) mengenai sektor keusahawanan negara.

Turut mencelah, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mempertikaikan maksud kereta terbang berkenaan.


Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kereta terbang yang diumumkan Mohd Redzuan Yusof merupakan sejenis dron dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum diterbangkan.

Dalam masa sama, Redzuan berkata, kerajaan perlu membincangkan perkara secara menyeluruh termasuk isu ruang udara sebelum memutuskan pengeluaran kereta terbang.

Menurut beliau, ia termasuk keputusan mengeluarkan kenderaan itu atau sebaliknya dalam perkembangan projek itu sendiri.

BACA: Pandu uji 'kereta terbang' Khamis ini hanya untuk Ahli Parlimen - Redzuan