Langkah kerajaan memperkenal kereta terbang tahun ini bakal menjadi kenyataan apabila Super Dron dengan Kepintaran Buatan (AI) akan memasuki pasaran negara sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, projek itu diusahakan syarikatnya yang menjalinkan usahasama dengan syarikat dari China, E Hang Intelligent Equipment di Guangzhou dan Strong Rich Holdings Limited.

Jelasnya, projek berkenaan yang bakal diperkenal tahun ini akan digunakan untuk pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan.

“Tujuan kerjasama strategik bagi memasarkan, menjalankan operasi, perkhidmatan serta penyelenggaran super dron di negara ini.

“Teknologi dron dengan kepintaran buatan (AI) ini sesuai digunakan pihak berkuasa membuat pemantauan keselamatan di kawasan sempadan negara contohnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Pengenalan super dron juga bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya dicadangkan kepada pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober 2019

BACA: Syarikat UK mahu bersama bangunkan projek 'kereta terbang' Malaysia

Jelasnya, penggunaan kenderaan itu akan dicadangkan antaranya untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, bagi pemangkin kepada sektor pelancongan pula, super dron boleh digunakan oleh Kementerian Pelancongan ke pulau-pulau negara ini dengan harga serendah RM80 untuk satu perjalanan.

Pihaknya juga tidak menolak untuk membina kilang pemasangan super dron di Malaysia dengan kadar pengeluaran 10,000 unit setahun jika kerajaan boleh memberikan insentif dan tawaran yang menarik untuk teknologi berkenaan.

“Super dron ini terbukti mampu menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti khususnya di kawasan bandar sekiranya berlaku kecemasan dan memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

“Menariknya super dron ini boleh melakukan penerbangan bagi ketinggian 300 meter dengan kelajuan maksimum 130 kilometer sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri sejauh 110 kilometer.

“Selain itu, ia berupaya membawa maksimum dua orang penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram bagi satu perjalanan,” ujarnya.

Selepas Malaysia kata Zakwanhafiz, pihaknya turut menyasarkan pasaran di Indonesia bagi sektor pengangkutan di kawasan pulau-pulau negara itu yang tidak dihadkan membawa penumpang bahkan juga untuk membawa barangan.