KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penyenggaraan secara berjadual bagi penggantian injap di tiga lokasi telah siap dilaksanakan pada jam 6 pagi ini.

Tiga lokasi yang dimaksudkan ialah Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan di hadapan pencawang pembahagi utama The Mines, Seri Kembangan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan, bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Ia turut berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Semalam, lima kawasan di Wilayah Hulu Langat dilaporkan bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyenggaraan penggantian injap bermula jam 9 malam tadi. 

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata kawasan terjejas melibatkan Balakong; Green Park Resident; SL 6, SL9, SL10 dan SL 11 di Bandar Sungai Long; Taman Bukit Palma; serta Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara dan Jalan Mahkota di Bandar Mahkota Cheras. 

Katanya, kerja-kerja dijangka siap pada jam 6 pagi Rabu dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat serta dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi Khamis.

Orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor untuk maklumat lanjut.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.