RM150 juta anggaran kerugian banjir di Perlis

Rahimi bercakap pada sidang media penilaian impak pemulihan pasca banjir Perlis 2025 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar, 13 Dis 2025. --fotoBERNAMA
KANGAR: Anggaran keseluruhan kerugian akibat banjir di Perlis yang bermula penghujung November dianggarkan berjumlah RM150 juta membabitkan kerosakan infrastruktur, kediaman, pertanian, ekonomi setempat, kemudahan awam serta sektor pendidikan dan kesihatan.
Ringkasan AI
- Kerugian akibat banjir di Perlis mencapai RM150 juta, merosakkan infrastruktur, kediaman, pertanian, ekonomi setempat, kemudahan awam, serta sektor pendidikan dan kesihatan.
- Sistem Lencongan Banjir Barat berjaya kurangkan kesan banjir di kawasan kritikal; keseluruhan mangsa banjir termasuk 38,589 orang dari 13,881 keluarga.
- Gerak kerja pemulihan pasca banjir dijalankan melalui PKOB melibatkan pelbagai agensi; bantuan tunai dari NADMA sedang disalurkan dan satu PPK akan dibina di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau.
"Kemasukan air yang cepat, terutama selepas pelepasan air dari Empangan Timah Tasoh menyebabkan banyak kawasan kediaman dan sawah tenggelam," katanya pada sidang media perkembangan terkini penilaian impak dan gerak kerja pemulihan pasca banjir Perlis di sini.
Rahimi berkata gerak kerja pembersihan skala besar dijalankan secara bersepadu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) melibatkan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selain polis, bomba dan tentera.
"Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, badan beruniform, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan yang membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri," katanya.
Rahimi berkata sistem amaran dan kesiapsiagaan agensi keselamatan berfungsi dengan baik ketika banjir berlaku meskipun paras air naik dengan pantas.
Beliau berkata bantuan tunai daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa banjir telah bermula dengan kira-kira satu pertiga sudah menerima bantuan itu manakala selebihnya dijangkakan selesai dalam tempoh tiga minggu.
Selain itu, Rahimi berkata satu lokasi bagi pembinaan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) dikenal pasti, iaitu sekitar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau yang dijangka bermula 2026 selepas penilaian teknikal dimuktamadkan termasuk aspek kesesuaian tanah dan keperluan infrastruktur.
"Ia bagi memastikan kemudahan itu selamat untuk digunakan pada bila-bila masa bencana. Kita akan teliti semula kriteria teknikal termasuk faktor kawasan sering dinaiki air. PPK ini akan menjadi pusat penempatan utama sebelum PPS lain dibuka mengikut keperluan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


