Trump kata Kemboja, Thailand setuju hentikan pertempuran sempadan, ucap terima kasih kepada PM Anwar

Trump berkata, Hun Manet dan Anutin telah bersetuju untuk menghentikan tembakan berkuat kuasa malam ini dan kembali kepada Perjanjian Damai yang dimeterai, dengan bantuan Anwar.
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sempadan, sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan yang diberikan.
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sempadan, dengan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Anwar Ibrahim memainkan peranan dalam menggesa kedua-dua negara agar kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan konflik Kemboja-Thailand melalui dialog serta mekanisme ASEAN.
- Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan memuncak pada Julai lalu, menyebabkan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai dan penandatanganan Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober, sebelum pertempuran kembali berlaku baru-baru ini.
"Merupakan satu penghormatan bagi saya untuk bekerjasama dengan Anutin dan Hun dalam menyelesaikan isu yang berpotensi berkembang menjadi peperangan besar antara dua negara yang sepatutnya aman dan makmur.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas bantuannya dalam perkara yang amat penting ini," tulisnya.
Beliau juga berkata bahawa kedua-dua negara bersedia untuk mencapai keamanan serta meneruskan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Terdahulu, Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Trump mengenai konflik Kemboja-Thailand menerusi satu panggilan telefon.
"Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia dalam menggesa kedua-dua negara supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas menteri-menteri luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai keadaan dan menyokong langkah-langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan sejak sekian lama kembali memuncak pada Julai lalu, mencetuskan pertempuran ketenteraan selama lima hari.
Kedua-dua negara kemudiannya bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.
Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, mengakibatkan beberapa kematian serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


