Skip to main content

Malaysia

Kerjasama input kritikal Malaysia-Australia perkukuh bekalan baja negara - NAFAS

Australian Prime Minister Anthony Albanese speaks next to Malaysian Prime Minister Anwar Ibrahim during a press conference in Putrajaya, Malaysia, Thursday, April 16, 2026. Vincent Thian/Pool via REUTERS
NAFAS menyambut baik perbincangan strategik antara Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese untuk memperkukuh kerjasama bagi menjamin kestabilan bekalan input pertanian negara. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan terus bekerjasama dengan kerajaan serta pemain industri utama bagi memastikan kerjasama bekalan input kritikal antara Malaysia dan Australia dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh rantaian bekalan baja.

NAFAS dalam satu kenyataan hari ini menyambut baik perbincangan strategik antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese baru-baru ini untuk memperkukuh kerjasama dua hala bagi menjamin kestabilan bekalan input pertanian negara.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut dijangka dapat memperkukuh daya tahan sektor pertanian negara serta memastikan bekalan input kritikal kekal stabil dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.

NAFAS memaklumkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) itu merupakan langkah signifikan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan mentah kritikal industri baja dalam mendepani ketidaktentuan rantaian bekalan global dan krisis tenaga semasa yang memberi kesan langsung kepada sektor pertanian serta pengeluaran makanan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan pembekalan baja kepada sektor pertanian, NAFAS amat menitikberatkan kestabilan bekalan bahan mentah seperti CIRP (Christmas Island Rock Phosphate) bagi memastikan pengeluaran baja domestik dapat dilaksanakan secara berterusan dan efisien.

“Secara keseluruhan, keperluan CIRP bagi penghasilan baja negara dianggarkan sekitar 65,000 tan metrik (MT) setahun, khususnya bagi penghasilan baja sebatian di bawah skim input subsidi kepada hampir 200,000 pesawah di seluruh negara, bergantung kepada keperluan musim tanaman dan permintaan sektor pertanian,” menurut kenyataan itu.

CIRP yang diimport dari Australia merupakan komponen utama dalam penghasilan baja sebatian, khususnya bagi menyokong sektor padi yang menjadi tunjang kepada keterjaminan bekalan beras negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai kelebihan dalam pengeluaran baja berasaskan nitrogen, dengan sumber utama urea negara diperoleh daripada Petronas melalui keupayaan pengeluaran domestik yang kukuh.

Menurut NAFAS, gabungan kekuatan ini mencerminkan pendekatan saling melengkapi antara Malaysia dan Australia dalam rantaian nilai industri baja, merangkumi sumber bahan mentah dan pengeluaran produk hiliran.

 "Jaminan bekalan melalui kerjasama strategik berkenaan akan mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan sekali gus menyokong kestabilan pengeluaran baja tempatan bagi menjamin kelangsungan pengeluaran padi negara.

"Selain itu, jaminan akses berterusan kepada bahan mentah kritikal tersebut akan memastikan kelangsungan pengeluaran baja domestik, sekali gus menyokong produktiviti pesawah dan kestabilan bekalan beras negara,” maklum kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video