Kejadian penculikan dan jenayah rentas sempadan di perairan Sulu boleh diatasi dengan kerjasama kawalan empat negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama pasukan keselamatan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina dilihat mampu menyekat jenayah terutamanya di pantai timur Sabah.

Menurut Khalid, kewujudan pangkalan hadapan atau forward operation base (FOB) di Pulau Mabul, Semporna, Sabah merupakan antara usaha menangani jenayah rentas sempadan.

Namun usaha itu sukar dilakukan sekiranya Malaysia tidak mendapat sokongan negara jiran.

"Kalau dilihat pada masa ini, hanya pasukan keselamatan negara kita dengan pembabitan pelbagai agensi keselamatan yang bersungguh-sungguh mengawasi kawasan perairan dalam negara, namun pencerobohan masih berlaku.

"Ini kerana apabila kita melakukan kawalan dan pemantauan, kumpulan pengganas dari negara jiran ini mengambil kesempatan bersembunyi di sekitar kawasan perairan antarabangsa," kata Khalid.

Pada Ahad, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan hasrat untuk berbincang dengan rakan sejawatnya berhubung usaha menggandingkan pasukan keselamatan dari empat negara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata langkah mewujudkan FOB itu bagi menyediakan pasukan tindakan segera menangani ancaman musuh di kawasan ESSCom.

Pelaksanaan operasi kedua FOB di Pulau Banggi, Kudat akan diketuai oleh polis marin.

Ia juga mengabungkan elemen KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Unit Tindakan Khas dan Pasukan 69 Komando.