Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holding Bhd (Astro) bekerjasama bagi menyiarkan slot program TV Pendidikan di saluran TUTOR TV, Astro.

Kerjasama ini merupakan satu inisiatif tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah bermula sejak 6 April 2020.

Inisiatif ini juga merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

Pendekatan ini dilihat dapat membantu murid yang tidak mempunyai akses capaian internet untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.

Mula bersiaran pada 4 Mei, program saluran TUTOR TV akan disiarkan selama dua jam pada Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma dan pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.

Sebagai rujukan, jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

.