PUTRAJAYA: Hasil kerjasama dan libat urus yang kukuh antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan pemain industri telah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan universiti itu kepada 96.8 peratus, kata pemangku Naib Canselor UNITEN Prof Datuk Ts Dr Mohd Zamri Yusoff.

Beliau berkata trend peratusan tinggi graduan UNITEN yang berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian itu menunjukkan bahawa libat urus berterusan dengan pihak industri dapat memberi peluang pekerjaan cerah kepada penuntut universiti itu.

"Satu daripada kekuatan UNITEN adalah kadar kebolehpasaran iaitu majoriti graduan akan mendapat tawaran dan peluang pekerjaan setelah tamat pengajian.

"Ini kerana dalam setiap subjek yang ditawarkan, ia perlu mendapat input daripada industri untuk dua minggu dan orang dari industri turut mengajar kursus. Itu sebab industri-industri (yang berkenaan) menantikan graduan kami," katanya kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen UNITEN ke-25, di sini pada Sabtu.

Selain itu, Dr Mohd Zamri berkata UNITEN juga sentiasa memastikan graduan yang dihasilkannya itu cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga menguasai kemahiran interpersonal, kepimpinan dan komunikasi.

Katanya setiap penuntut UNITEN wajib terlibat aktif dalam kokurikulum dan mereka akan dinilai menerusi Students aCtivities Online Reporting System of UNITEN (Scorun) yang meliputi lima komponen iaitu kerohanian dan peradaban, sukan dan rekreasi, kesenian dan kebudayaan, komunikasi dan usahawan serta kepimpinan dan intelek.

Dr Mohd Zamri berkata UNITEN juga mampu melengkapkan penuntutnya dengan kemahiran dan pengetahuan yang amat diperlukan industri seiring dengan usaha kerajaan ke arah digitalisasi dan teknologi hijau.

Katanya UNITEN juga menjalin kerjasama dengan universiti antarabangsa termasuk dari Perancis, Ireland, Jerman dan China serta melantik 80 profesor terbaik di seluruh dunia sebagai profesor pelawat untuk berkongsi kepakaran dan kerjasama penyelidikan mereka untuk memberi pendedahan landskap global kepada penuntut.

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Chong Jin Yang, 23, yang menerima Anugerah Canselor Emas bagi menghargai pencapaian luar biasanya dalam bidang akademik, kokurikulum serta sumbangan positif dalam kehidupan universiti berkata memiliki sahabat akrab serta kata-kata motivasi daripada ibu bapa merupakan dorongan semangat baginya sehingga berjaya.

"Kita sepatutnya mempunyai kawan baik. Bermula empat tahun lepas sehingga kini saya telah bekerja sebagai satu pasukan dan belajar secara berkumpulan," kata Chong yang kini bekerja di sebuah syarikat pengeluar penyaman udara multinasional Jepun, kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen UNITEN ke-25, di sini pada Sabtu.

Bagi graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Ooi Khel Shiao, 23, yang menerima Anugerah Canselor Perak, berkata walaupun penglibatan wanita dalam kursus kejuruteraan elektrik agak kurang namun ia tidak menghalangnya untuk menamatkan pengajian dalam bidang itu selama empat tahun.

"Dalam kelas saya, hanya ada beberapa pelajar wanita tapi itu tidak menghalang saya kerana minat saya terhadap subjek fizik telah mendorong saya terus mendalami bidang itu," katanya yang juga penerima Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia.

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Lim Swee Keong, 22, berkata pilihan menyambung pengajian di UNITEN didorong ayahnya yang juga merupakan pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB).

"Saya percaya dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ia dapat meningkatkan produktiviti dan juga membantu negara beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi," katanya yang merupakan penerima Anugerah Canselor Gangsa," katanya.

Majlis konvokesyen yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang juga merupakan Canselor UNITEN, menyaksikan seramai 1,373 graduan menerima ijazah termasuk 136 graduan antarabangsa serta 19 graduan Hufaz Profesional.

Pada majlis itu, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Abdul Razak Abdul Majid dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UNITEN yang bukan sekadar pengiktirafan malah menjadi pemacu utama dalam peranan beliau untuk terus memajukan prestasi universiti berkenaan.

-- BERNAMA