Kerjaya penulis muda Kelantan perlu dirangsang bawa suara generasi baharu

Tengku Mohamed Faziharudean berkata kerajaan negeri berharap lebih banyak penulis muda tampil menyertai dunia penulisan bagi membawa suara generasi baharu yang berpaksikan nilai murni serta kemanusiaan sejagat. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Bidang penulisan, sama ada kreatif mahupun bukan kreatif yang bersifat sarat dengan nilai pengajaran, wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi masa kini khususnya di Kelantan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
Ringkasan AI
- Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggesa penulis muda untuk menyuarakan nilai murni dan kemanusiaan dalam penulisan mereka.
- Beliau menekankan peranan institusi, universiti, badan kebudayaan, dan media dalam membangunkan penulis baharu yang berwibawa dan kreatif.
- Tengku Mohamed Faziharudean menekankan bahawa penulis perlu menjadi penyampai kebenaran, pemangkin perubahan, dan penjaga nilai dalam dunia moden dan digital untuk menyebarkan kesedaran kepada pembaca.
"Pelbagai institusi, universiti, badan kebudayaan dan media turut memainkan peranan penting dalam melahirkan penulis baharu yang berwibawa dan kreatif," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kelantan 2023/2024 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini pada Ahad.
Tengku Mohamed Faziharudean berkata dalam dunia moden dan digital masa kini, peranan penulis semakin mencabar apabila mereka perlu menjadi penyampai kebenaran, pemangkin perubahan dan penjaga nilai, bukan sekadar mencatat peristiwa tetapi mentafsirkan makna di sebaliknya.
"Mereka (penulis) tidak hanya menulis kata-kata tetapi menyalakan api kesedaran dalam jiwa manusia dan kehidupan. Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan besar para penulis serta sasterawan.
"Dunia sastera adalah perjalanan yang panjang dan penuh hikmah, maka teruslah menulis dan berkarya kerana setiap tulisan yang lahir dari hati yang tulus akan meninggalkan kesan kepada jiwa pembaca," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


