KUALA LUMPUR: Pembangunan Kertas Putih Kesihatan perlu berpaksikan kepada memperbaiki sistem kesihatan dari dasarnya.

Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, pasca pandemik memperlihatkan masih banyak kelemahan dalam sistem perkhidmatan kesihatan dan ia boleh menjadi penanda dimana kertas putih itu harus bermula.

"Pandemik menyedarkan kita yang sistem kesihatan kita mempunyai masalah kewangan untuk menyediakan peruntukan, bagaimana nak meningkatkan pembiayaan dan apa sumber yang perlu diperkemaskan bagi menyediakan dana.

"Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pernah memaklumkan kita memerlukan lima peratus Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan untuk sistem kesihatan, bermaksud kita perlu tambah 100 peratus daripada apa yang ada sekarang.

"Kedua, bagaimana nak mengagihkan dana itu kepada komponen perkhidmatan kesihatan. Kita tahu negara ada masalah penyakit tidak berjangkit seperti kanser, jantung dan banyak lagi. Ini semua memerlukan kos tinggi tetapi ia boleh diatasi jika kita berikan tumpuan pada aspek pencegahan.

"Dana yang diperlukan dalam aktiviti pencegahan harus diberikan tumpuan, bagaimana nak salurkan supaya in long term kita boleh kurangkan prevalance penyakit ini," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, sistem kesihatan negara turut menghadapi masalah dari segi sumber daya manusia iaitu bilangan doktor yang ramai tetapi tidak boleh diterapkan dalam perkhidmatan, yang pastinya akan diberikan tumpuan supaya masyarakat dapat mendapatkan perkhidmatan terbaik.

Beliau juga melihat Kertas Putih Kesihatan sebagai langkah yang memperlihatkan komitmen serius kerajaan dalam memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan yang masih belum dapat dilaksanakan secara komprehensif.

"Ini usaha serius kerajaan untuk lakukan reformasi dalam sistem kesihatan, usaha yang cuba dilakukan sejak 1980an lagi tetapi belum berjaya dilakukan secara komprehensif.

"Saya difahamkan banyak perkara akan dimasukkan, ini supaya kerajaan lebih komited untuk melaksanakan reformasi dalam sistem kesihatan yang kita tahu perlu diperbaiki terutama selepas dua tahun pandemik bagi memastikan semua komponen dalam sistem kesihatan dapat diperkemaskan supaya ia lebih mampan," katanya lagi.

Awal Ogos lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan di Parlimen pada November.