IPOH: Kertas siasatan berhubung insiden bot rekreasi terbalik yang mengorbankan seorang wanita akibat lemas di Teluk Batik, Lumut, 28 Ogos lepas telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri pada 24 Nov, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng.

Sandrea berkata hasil semakan TPR, pasukan siasatan kemalangan Jabatan Laut Malaysia (JLM) diminta meneruskan siasatan lanjut bagi proses pendakwaan di mahkamah.

"Pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengarahkan pemberhentian serta-merta kepada pengusaha bot terlibat sehingga lesen aktiviti dikeluarkan bermula tarikh kejadian.

"MPM juga telah mengeluarkan notis arahan keselamatan kepada semua pengusaha dan juga pemakluman bagi menghentikan operasi sementara dalam tempoh penyiasatan isu tersebut," katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

'Beliau menjawab soalan Datuk Yunus Jamahri (PN-Kuala Kurau) yang mahu tahu apakah tindakan yang diambil terhadap pengusaha bot rekreasi terbabit dan langkah supaya kejadian tersebut tidak berulang.

Pada 28 Ogos lepas, Nurul Afiqah Abdullah Sani, 34, yang berasal dari Parit Buntar meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Manjung apabila bot yang dinaikinya bersama beberapa lagi pelancong terbalik.

Siasatan mendapati mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku dan pengoperasi bot rekreasi terbabit tidak mempunyai lesen yang sah.

Susulan itu suami mangsa Mohammad Hafiz Johari, 31, kemudian bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkaitan insiden terbabit.

Sementara itu, Sandrea berkata pada masa kini, JLM menempatkan anggota pada hujung minggu dan cuti umum di kawasan peranginan sekitar Lumut bagi memastikan bot digunakan untuk aktiviti pelancongan adalah bot berlesen dan semua pemandu bot serta penumpang memakai jaket keselamatan.

"Bot-bot yang beroperasi juga dipastikan membawa penumpang tidak lebih 12 orang," katanya.

Katanya MPM juga telah meningkatkan rondaan di kawasan pantai dan sentiasa mengingatkan serta menegaskan kepada pengusaha bot mewajibkan pemakaian personal floating device (PFD) kepada penumpang.

"Selain itu, penggunaan siar raya (speaker) juga turut diguna pakai bagi memaklumkan pelancong untuk sentiasa berhati-hati selain poster keselamatan juga diteruskan bagi memberi kesedaran kepada pelancong terutamanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum," katanya.


Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI