KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang dikatakan mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lepas, akan disiapkan dalam masa seminggu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata prosedur operasi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan kes berkaitan 3R (agama, raja dan bangsa) adalah tidak melebihi daripada tujuh hari.

"Tugas polis adalah untuk menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Pagi tadi Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah selesai mengambil keterangan Abdul Hadi di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini.

Mengulas mengenai proses mengambil keterangan itu, Ayob Khan berkata hanya lima daripada 24 soalan yang diajukan polis telah dijawab oleh Abdul Hadi, dan selebihnya dimaklumkan akan dijawab di mahkamah nanti.

Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang dikatakan menghina institusi Diraja, Ayob Khan berkata terdapat beberapa kertas siasatan yang telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan.

Mohd Shuhaily sebelum ini memaklumkan Dr Mahathir dikatakan membuat kenyataan berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi Diraja yang disiarkan MGNews pada 6 Jun lepas.

Sementara itu Ayob Khan berkata PDRM dalam proses untuk mendapat perintah notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung kes melibatkan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

"Kes ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kami hanya diminta untuk membantu permohonan notis merah, dan ia bukan mudah kerana perlu lalui banyak proses, antaranya perlu mendapatkan waran terlebih dahulu," katanya.

Muhammad Adlan, 48, dan rakannya Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

-- BERNAMA