Kertas siasatan berhubung kes usahawan kosmetik yang didakwa memukul anak angkatnya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi proses pendakwaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis sudah mengambil keterangan semua saksi yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan dijangka akan diserahkan kepada pendakwa raya esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, pada 5 Mac lalu usahawan kosmetik berkenaan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan memukul anak angkatnya.

Kejadian pada 28 Februari itu difahamkan berlaku di kediaman usahawan itu dan sehari kemudian, pembantu rumahnya membuat laporan polis sebagai perlindungan diri.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mangsa yang berusia 2 tahun dipukul dengan menggunakan tangan dan kasut serta dicubit sehingga meninggalkan kesan pada badannya.

Suspek dipercayai memukul mangsa yang menangis ketika dia sibuk merakam video untuk laman sosialnya.