MELAKA: Produk inovasi 'Smart Child Car Seat with Ambient Monitoring System' ciptaan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terpilih dalam senarai finalis lima teratas Pertandingan 'Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2021', yang akan berlangsung pada 20 Jan tahun hadapan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Ir Ghazali Omar berkata 'Smart Child Car Seat with Ambient Monitoring System' merupakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang disambungkan dengan pelbagai penderia (sensor) bagi memantau keadaan di dalam kenderaan dan turut dilengkapi dengan aplikasi khas yang akan menghantar notifikasi ke telefon pintar pengguna.

"Ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti pengesan suhu, pengesan tahap karbon dioksida serta alkohol dan melalui aplikasi itu juga pengguna dapat mengesan lokasi kenderaan masing-masing kerana ia turut didatangkan bersama 'GPS tracker'.

"Kejayaan penyelidik UTeM membangunkan sistem ini membuktikan bahawa UTeM mempunyai pakej kemahiran dan kompetensi tinggi dalam bidang yang mereka pelajari selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek penyelidikan dan pembangunan sistem ini dibangunkan pengurus penyelidik yang merupakan jurutera pengajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) Kamilah Jaffar bersama Nurul Kausar Ab Majid, Amalia Aida Abd Halim dan Rohaina Jaafar yang juga Jurutera Pengajar (FTKEE) serta berperanan sebagai pembantu penyelidik.

Katanya, turut terlibat dalam menjayakan projek berkenaan ialah empat pelajar tahun empat daripada kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik iaitu Tan Kim Loong, Syukur Samsudin, Muhamad Hilmi Hasnan dan Muhammad Saudi Lai Mohd Fikri, serta seorang pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) iaitu Hadirah Zaharuddin.

Sementara itu, Kamilah berkata projek yang dibangunkan pada Julai tahun ini dan siap pada 2 Dis lepas telah dibentangkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka selain bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan itu.

"Hasil daripada pembentangan itu, JPJ menyatakan projek berkenaan dapat meningkatkan tahap keselamatan," katanya.

-- BERNAMA