KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa akaun AmBank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah akaun individu pertama yang diwujudkan dengan nama kod bagi tujuan melindungi maklumat dan menjaga sensitiviti akaun itu.

Joanna Yu Ging Ping, 51, bekas Pengurus Perhubungan di bank itu, berkata akaun peribadi Najib yang berakhir dengan 694 diberi nama kod AmPrivate Banking - MR dan idea untuk menggunakan nama kod itu adalah permintaan dan cadangan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Jho Low juga meminta supaya akaun ini diklasifikasikan sebagai 'terlalu sulit', iaitu bukan mudah untuk mendedahkan nama peribadi Datuk Seri kepada sesiapa atau sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada sistem akaun di cawangan bank.

"Saya masih ingat dimaklumkan oleh bekas Pengarah Urusan AmBank Cheah Tek Kuang bahawa perkara ini (nama kod) telah dimaklumkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia pada ketika itu.

"Saya ingin menyatakan di sini bahawa dalam semua urusan saya dengan pelanggan swasta, ini adalah kali pertama individu akaun menggunakan nama kod," kata Yu sambil menambah biasanya nama kod hanya diberikan kepada akaun projek korporat tertentu.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-41 itu dalam keterangannya berkata bahawa pada 2011, Jho Low memberitahunya Najib berminat untuk membuka akaun dengan AmBank dan Cheah perlu bertemu dengan bekas perdana menteri itu bagi memudahkan pembukaan akaun.

"Susulan pertemuan Cheah dengan Datuk Seri Najib mengenai pembukaan akaun, saya menerima borang pembukaan akaun yang ditandatangani daripada Cheah dan menyerahkannya kepada bahagian AmBank untuk diproses.

"Berhubung pembukaan akaun ini, saya tidak berurusan secara langsung atau berjumpa dengan Datuk Seri Najib. Semua perkara berkaitan akaun Datuk Seri, saya berurusan dengan Jho Low dan kemudian saya berurusan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Nik Faisal Ariff Kamil selepas menerima surat mandat daripada Datuk Seri Najib menyatakan Nik Faisal sebagai wakil beliau dengan bank berkenaan berhubung akaun bank peribadinya," kata Yu.

Ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion milik 1MDB, Yu selanjutnya berkata sebarang arahan daripada Nik Faisal dianggap arahan daripada Najib.

"Surat mandat itu hanya membenarkan Nik Faisal berkuasa mengarahkan pemindahan dana antara akaun Datuk Seri Najib tetapi beliau tidak mempunyai kuasa dan tidak boleh membuat sebarang transaksi ke akaun pihak ketiga atau sebarang pengeluaran wang tunai.

"Semua arahan berkaitan bayaran ke pihak ketiga, pemindahan dan semua cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib hanya boleh dibenarkan dengan tandatangan Najib," katanya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 Nov.

-- BERNAMA