KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB didakwa menyembunyikan dokumen syarikat itu daripada diserahkan kepada Jabatan Audit Negara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan saksi pendakwaan ke-15, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy ketika prosiding meminda laporan audit 1MDB yang turut membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, 1MDB tidak dapat menyediakan dokumen diminta kerana pejabat syarikat ketika itu diserbu oleh polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan banyak dokumen serta fail termasuk cakera keras dirampas.

BACA: JC baharu dengar permohonan Irwan Siregar, Arul Kanda batal saman 1MDB

“Jadi, kami tidak dapat akses kepada maklumat yang diminta dan ada pihak dalam 1MDB secara aktif menyembunyikan maklumat berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Disoal Muhammad Shafee identiti individu yang menyembunyikan dokumen itu, Arul Kanda berkata, individu tersebut ialah ‘Azmi Tahir’ yang juga bekas CFO 1MDB.

Dalam prosiding pada Jumaat, Muhammad Shafee turut menyentuh isu kekecewaan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (ketika kejadian) terhadap 1MDB kerana tidak memberi kerjasama apabila diminta dokumen bagi penyediaan laporan audit.

1MDB | Najib, Arul Kanda arah laporan akhir audit dipinda - Saksi

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 September ini.

Untuk rekod, Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

[TERKINI] 1MDB: Mahkamah benar Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.