KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Nov untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam utama bekas perdana menteri itu memaklumkan pihak pembelaan memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan penghujahan berhubung permohonan pindaan pihak pendakwaan.

"Yang Arif, kami memerlukan lebih masa untuk mengumpulkan matriks fakta kes berhubung tiga pertuduhan yang ingin dipinda oleh pendakwa raya.

"Kami mendapati selain bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu dan Pengurus Cawangan Ambank R Uma Devi, terdapat beberapa lagi saksi yang perlu kami semak semula untuk melengkapkan matriks fakta," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar berhujah pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap perkara berkenaan dan menambah bahawa pihak pendakwaan juga memerlukan masa untuk menyediakan hujahan lanjut mereka.

"Yang Arif, saksi pendakwaan yang bersedia hari ini Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min. Tetapi beliau masih menjalani cuti sakit kerana sakit gout," kata pendakwa raya.

Hakim kemudian melapangkan prosiding hari ini kepada 6 Nov dan berkata keputusan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan itu akan diputuskan pada tarikh berkenaan.

"Pada tarikh itu, saya akan menyampaikan keputusan saya bagi kedua-dua pindaan kepada tiga pertuduhan dan kebolehterimaan dokumentasi, kemudian kita boleh meneruskan dengan ACP Foo," kata hakim itu.

Kebolehterimaan isu dokumentasi merujuk kepada bantahan pasukan pembelaan terhadap hasrat pihak pendakwaan untuk mengakui beberapa dokumen bank yang dikaitkan dengan keterangan Foo.

Selasa lepas, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka mahu meminda satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa Najib dan dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya, berikutan keterangan dua saksi baru-baru ini iaitu Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan dan Foo.

Beliau berkata bagi pertuduhan salah guna kuasa, pihak pendakwaan mahu meminda jumlah daripada RM49.9 juta kepada RM44.6 juta manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pihak pendakwaan mahu meminda pertuduhan ke-10 yang Najib dituduh melakukan kesalahan dengan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram, dengan mengurangkan jumlah terlibat daripada RM652.6 juta kepada RM515.7 juta.

Selain itu, pihak pendakwaan juga mahu meminda pertuduhan ke-21 melibatkan pemindahan dana dengan mengurangkan jumlah RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah oleh pihak pembelaan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

-- BERNAMA