KUALA LUMPUR : Sejumlah RM60.6 juta telah dimasukkan ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi dua transaksi pada 2011.

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, pada sesi perbicaraan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya lagi, berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM30,449,929.97 ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 24 Feb dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen ini (penyata akaun) AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya.

Uma Devi berkata demikian sewaktu membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Menurut saksi pendakwaan ke-37 itu lagi, Najib merupakan penandatangan tunggal cek dan boleh melakukan transaksi terhadap akaun peribadinya.

“Akaun (694) ini dibuka dengan bayaran deposit sebanyak RM500 sahaja. Penandatangan sah bagi akaun persendirian ini adalah Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penandatangan tunggal sah bagi cek yang dikeluarkan. Ini bermaksud, hanya beliau sahaja (Najib) boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi kesemua akaun ini,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mengesahkan Najib ada menyerahkan surat kepada Pengurus Cawangan  AmIslamic Bank Berhad bertarikh 26 Ogos 2013.

Perkara itu bagi tujuan untuk menutup akaun semasa dan simpanannya  serta mengarahkan pihak bank untuk memindahkan wang di dalam akaunnya itu berjumlah RM150 juta ke akaun lain iaitu AmPrivate Banking.

Mengulas lanjut, surat itu turut menyatakan segala cek yang tidak digunakan akan dipulangkan kepada pihak bank selain Najib tidak boleh mengeluarkan sebarang cek sebaik sahaja penutupan akaun terbabit.

“Arahan lain di dalam surat ini adalah untuk debitkan baki amaun dari akaun-akaun tersebut menggunakan baki berkenaan untuk mengeluarkan deraf bank di atas nama AmPrivate Banking-1MY.

“Berdasarkan slip itu, wang berjumlah RM12,436,711.87 telah dipindahkan ke akaun AmPrivate Banking-1MY pada 30 Ogos 2013 yang akaun tersebut (AmPrivate Banking) itu adalah milik Datuk Seri Najib yang dibuka di Cawangan Jalan Raja Chulan pada 31 Julai 2013,” jelasnya lagi.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.