KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi disifatkan sebagai tidak memberi sebarang persepsi negatif kepada sistem Perlembagaan negara.

Peguam mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata, keputusan mahkamah sama sekali tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi undang-undang negara khususnya kepada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana kata beliau, antara pembelaan yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid di dalam pembelaannya adalah merupakan suatu kes pendakwaan politik.

Beliau berkata, dalam keterangan bersumpah Ahmad Zahid di mahkamah bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memanggilnya dan memberikan arahan dalam nada tegas untuk membubarkan UMNO atau menerima sebarang akibat sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.

"Perjumpaan dengan Tun Mahathir adalah pada Jun 2018 dan Ahmad Zahid enggan tunduk kepada ugutan Tun Mahathir tersebut.

"Pada 2 Julai 2018, anak guam (Ahmad Zahid) telah dipanggil oleh SPRM untuk tujuan siasatan dan tindakan mahkamah, seterusnya telah dituduh pada 19 Oktober 2018.

"Daripada tarikh dituduh, Ahmad Zahid telah mengemukakan sebanyak lapan kali Surat Representasi kepada Jabatan Peguam Negara dan terkini pada 25 Januari 2023 memohon kepada jabatan itu mengkaji semula pertuduhan tersebut dengan tujuan untuk menarik semula pertuduhan-pertuduhan di atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan tersebut," katanya ketika sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaidi berkata, pada 20 Februari 2023, barisan peguam telah disalinkan satu surat daripada SPRM kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan tindakan mahkamah tersebut.

Jelasnya, surat SPRM tersebut antara lain menyatakan bahawa suruhanjaya itu berpendapat bahawa satu yang penting untuk siasatan lanjut dibuat agar kes pendakwaan lebih kukuh, selain SPRM sudah mula mendapatkan petunjuk dan bukti baharu.

Tambah beliau, siasatan yang lebih menyeluruh adalah amat penting agar pasukan penyiasat dan pihak pendakwaan tidak dikecam oleh orang ramai dan dituduh melakukan pendakwaan terpilih.

Ini kerana katanya, selepas kes baru-baru ini terhadap Tan Sri Shahrir Samad yang mana pegawai penyiasat telah mengaku di mahkamah semasa disoal balas sewaktu perbicaraan bahawa pertuduhan telah dikemukakan sebelum siasatan lengkap.

"Siasatan yang tidak lengkap ini telah menyebabkan reputasi SPRM selaku pasukan penyiasat dan Jabatan Peguam Negara selaku pasukan pendakwaan tercemar di mata masyarakat.

"Demi menjaga nama baik dan reputasi kedua-dua agensi penguatkuasa undang-undang negara ini, wujud keperluan untuk proses merekodkan beberapa keterangan daripada saksi-saksi dan mengumpulkan lagi bukti-bukti bagi mengesahkan petunjuk-petunjuk yang SPRM peroleh sebelum ini dilakukan.

"Selain itu, SPRM juga memberikan jaminan kepada Peguam Negara bahawa siasatan lanjut ini akan dijalankan secara menyeluruh, tanpa rasa takut dan pilih kasih serta lebih objektif dan sehingga ke akar umbi akan dijalankan," ujarnya.

Berikutan daripada keputusan Peguam Negara pada hari ini, beliau berkata, pihaknya percaya bahawa keputusan Peguam Negara berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun begitu, kata beliau, pihaknya ingin menegaskan bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, ia bukan kali pertama untuk mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan daripada pendakwaan di mahkamah.

Jelasnya, dalam erti kata lain, pelaksanaan budi bicara di bawah Artikel 145 (3), Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah suatu perkara yang biasa apabila Peguam Negara dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh pihak tertuduh melalui representasi-representasi diberikan.

"Proses representasi ini bukanlah suatu perkara baharu kerana ia telah pun menjadi amalan sebelum ini tidak kira di pelbagai peringkat perbicaraan dari Mahkamah Majistret sehingga ke Mahkamah Persekutuan termasuklah kes-kes yang melibatkan hukuman mati mandatori.

"Ketika perbicaraan juga pembelaan anak guam (Ahmad Zahid) di peringkat pendakwaan dan di peringkat pembelaannya adalah konsisten," ujarnya. - Sinar Harian