KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 yang bermula dari 29 Mei hingga 4 Jun menunjukkan penurunan sebanyak 15.5 peratus iaitu 11,052 kes berbanding 13,076 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-21).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini 4,513,631 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-22 adalah 23,290 iaitu terdapat penurunan sebanyak 8.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Purata kadar kebolehjangkitan COVID-19 (nilai Rt) juga menunjukkan penurunan sebanyak 2.2 peratus iaitu 0.91 berbanding 0.93 pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-22 menurun sebanyak 13.4 peratus (15,925 kes kepada 13,797 kes) berbanding ME ke-21, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,455,499.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian pada ME ke-22 pula menunjukkan peningkatan kepada 36.8 peratus, dengan 26 kes berbanding 19 kes pada minggu sebelumnya, menjadikan kumulatif kematian kini 35,686.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 11 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

"Namun begitu, didapati tiada perubahan kepada jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk bagi semua kategori. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun sebanyak 17 peratus.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil bukan kritikal menurun sebanyak lapan peratus dan penggunaan katil PKRC tiada perubahan manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 14 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan dengan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 11.6 peratus dan bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 17.8 peratus.

Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital pula meningkat sebanyak 2.5 peratus, katanya.

-- BERNAMA