Kerajaan sedang melakukan pemetaan lokasi dan intervensi strategik bagi kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot kes pembuangan bayi melalui kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ia memberi fokus kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan bayi dan ibu.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyarankan semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti, institusi keagamaan, media, pihak berkuasa kerajaan negeri memastikan matlamat memberi perlindungan dan keselamatan kepada ibu dan bayi tercapai.

Pada masa sama, wanita yang terlanjur dan hamil dinasihatkan segera menghubungi Talian Kasih dan tidak mengambil tindakan yang tidak sepatutnya.

"Saya ingin menasihatkan kepada remaja atau wanita di luar sana, sekiranya anda sudah terlanjur
dan tidak tahu apa langkah yang patut dilakukan,hubungi Talian Kasih 15999.

"Dapatkanlah bantuan segera dan jangan ambil tindakan melulu yang membahayakan nyawa anda dan bayi anda.

"KPWKM mempunyai kaunselor yang bertauliah dalam mengendalikan kes-kes seperti ini yang sentiasa sedia untuk membantu, memberi perlindungan kepada anda dan bayi anda," ujarnya.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian di bawah JKM adalah Rumah Perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita yang hamil luar nikah.

"Ingat, kes buang bayi boleh disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

"Saya juga ingin memaklumkan kepada semua rakan media bahawa Kementerian saya telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perkara ini," tambah beliau.

Mengenai kempen yang dilancarkan, Dr Wan Azizah berkata inisiatif bersama PLUS itu akan menyaksikan pelekat dan poster kesedaran termasuk nombor Talian Kasih diletak dan ditampal di lokasi strategik termasuk di pintu tandas di semua 22 RR di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh yang turut hadir pada pelancaran itu berkata inisiatif tersebut merupakan pendekatan baharu kementerian dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Menurutnya, pihaknya merancang mengembangkan inisiatif itu melalui perkhidmatan yang menjadi tumpuan ramai seperti di transit aliran ringan (LRT) serta lapangan terbang.