Skip to main content

Malaysia

Rezeki tidak diduga selepas 12 tahun menyimpan di BSN SSP

KOTA BHARU, 16 April -- Pegawai Tadbir Negeri Kelantan Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah, 34, (kiri) ditemani isteri Zarifah Zulkepli, 33, (kanan) bergambar dengan replika cek selepas dinobatkan sebagai pemenang cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) pada Program Temu Ramah Media Bersama Pemenang BSN SSP Ke-122 hari ini.  --fotoBERNAMA
Muhammad Riyadhul berkata berkata perkara pertama yang dilakukan ialah menghubungi isterinya, Zarifah Zulkepli, 33, untuk berkongsi berita berkenaan. - Bernama

KOTA BHARU: Penantian lebih sedekad akhirnya berbalas apabila seorang pegawai tadbir negeri merealisasikan impian lamanya untuk bergelar jutawan selepas diumumkan pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-122.

Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah, 34, berkata khabar gembira itu diterimanya awal bulan ini ketika menunggu keretanya dibaiki di sebuah bengkel di sini, dalam keadaannya buntu memikirkan kos pembaikan yang mencecah ribuan ringgit.

Advertisement

“Ketika itu saya benar-benar berdoa agar dikurniakan rezeki dari sumber tidak disangka. Tidak lama kemudian, saya dihubungi pihak BSN yang memaklumkan saya adalah pemenang cabutan SSP bagi Mac.

“Saya sangat terkejut dan tidak percaya. Selama ini saya sering memberitahu isteri bahawa saya mahu menjadi jutawan suatu hari nanti dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita pada Program Temu Ramah Media Bersama Pemenang BSN SSP Ke-122 di sini hari ini.

Muhammad Riyadhul berkata berkata perkara pertama yang dilakukan ialah menghubungi isterinya, Zarifah Zulkepli, 33, untuk berkongsi berita berkenaan.

"Pada mulanya isteri tidak percaya kerana saya selalu bergurau, namun selepas saya berkongsi pautan daripada BSN, barulah dia yakin. Kami sangat teruja dengan rezeki yang tidak disangka ini,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata dia mula menyimpan dalam BSN sejak 12 tahun lepas dengan deposit awal RM50 di cawangan Selayang.

Minat untuk menyimpan, katanya, tercetus selepas beberapa kali mengikuti siaran langsung cabutan SSP yang menyaksikan kemenangan pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak itu, dia konsisten menyimpan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan tanpa pernah mengeluarkan simpanan, yang kini hampir mencecah RM10,000.

Menurutnya, wang kemenangan tersebut akan digunakan untuk melangsaikan komitmen kewangan termasuk pinjaman rumah dan kenderaan, selain disimpan bagi menjamin masa depan anak-anaknya.

-- BERNAMA

Must Watch Video